Sunday 17 February 2019

TINGGALKAN ULASAN ANDA DI SINI

Rakan- rakan yang baik hati,

Setelah memiliki dan membaca Nota Hati Hamparan Memori, apakah perasaan kawan- kawan?

Sudi- sudilah kongsikan dengan saya reaksi anda dan saranan untuk penambahbaikan kepada e-book ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada semua!

Salam Kasih Sayang

Ezatul Marini bt. Mohd Ghazali
0173790240
ezatulmarinimooc@gmail.com

Thursday 14 February 2019

SENARAI BAB

Semasa menyusun bahan- bahan untuk dimuatkan dalam Nota Hati Hamparan Memori, saya bahagikan kepada beberapa bab utama. Susunan bab lebih berbentuk kronologi anekdot yang pernah menjadi memori dalam hidup saya. 

Berikut disenaraikan bab- bab yang terangkum dalam naskhah ini:

1. BAB 1 - MULANYA DI SINI
                  
                   Bab ini merangkumi catatan memori semasa zaman awal kanak- kanak dan awal remaja.                     Lokasi dan insan- insan penting sepanjang proses membesar dan mengenali erti 
                   kehidupan dirangkum menjadi paparan buat bacaan semua.

2. BAB 2 - INILAH SEKOLAH YANG TERCINTA

                   Kenangan dan kenakalan selama menuntut ilmu di sekolah asrama penuh dihimpun 
                   dalam bab yang penuh nostalgia ini. 

3. BAB 3 - CHILL LA (TEA) CHER

                   Bab ini merupakan rangkuman memori selama menjadi pendidik di sekolah rendah, 
                   sekolah menengah dan politeknik

4. BAB 4 - ANAK ABAH BOYFRIEND UMMI
                   
                  Penceritaan berkenaan anak bongsu saya yang mengalami disleksia disatukan dalam bab 
                  yang istimewa ini. Semoga rangkuman kisah anakanda Syakir Naeim bakal jadi inspirasi.

5. BAB 5 - NOTA HATI HAMPARAN MEMORI

                  Bab ini mengandungi hasil penulisan berkenaan ahli keluarga dan pengamatan kepada 
                  apa sahaja yang berlaku disekeliling saya. 

Selamat Mengembara di Nota Hati Hamparan Memori

BIODATA PENULIS


Assalamualaikum, Good Day, sedikit pengenalan berkenaan diri. Saya Ezatul Marini bt. Mohd Ghazali. Selain menjalankan tugas hakiki sebagai seorang pensyarah Bahasa Inggeris saya juga merupakan penulis sambilan yang telah terlibat dalam beberapa projek antologi seperti:

i. BLUR
ii. PELANGI KEHIDUPAN
iii. CLEAR
iv. KOMPAS KEHIDUPAN
v. MRS. PAPA (DALAM PROSES CETAKAN).

Saya merupakan salah seorang perantis di Akademi Bonda Nor. Saya juga kerap dipelawa untuk memberikan perkhidmatan sebagai Penulis Upahan (Ghostwriter) di bawah jenama Kataba The Writing Den

🌺🌺🌺

Perkhidmatan yang kami tawarkan terdiri daripada:-

- Penulisan Artikel berbilang genre
-Terjemahan artikel BI-BM dan BM- BI
- Menaip semula bahan salinan keras
- Menaip semula bahan audio ke teks
- Copywriting
- Penulisan teks ucapan
- Proofread artikel/ tesis/ manuskrip
- Penghasilan manuskrip fiksyen/ akademik

Maklumat lanjut sila whatsapp saya di wasap.my/+60173790240/ghostwritingservices

Ezatul Marini bt. Mohd Ghazali
Educator/ Ghostwriter/ Author

Saturday 9 February 2019

WARNA- WARNI SAINS RAUB

Inilah sekolah yang tercinta
SEMESTA itulah namanya

Siapa tak sayang sekolah oiii! Di situlah kami belajar erti berdikari, erti berjauhan dari keluarga dan erti bina ukhuwah dengan rakan- rakan yang lebih dewasa, sebaya dan yang lebih muda. Ukhuwah istimewa yang menyimpul banyak memori.

1. MEMOIR IKAN JACKET

Antara lauk yang paling legend jadi juadah kami adalah ikan jacket atau nama betulnya ikan cencaru. Ikan jacket sudah menjadi macam lauk " signature " di dewan makan.

Ikan jacket sumbat belakang, ikan jacket sambal dan gulai lemak ikan jacket antara jenis menu yang diulang- ulang hingga akhirnya kini saya seperti sudah tidak mampu lagi menelan ikan jacket.

2. TRAY DAN KARIPAP TERBANG

" Blackout " bukan asing semasa kami bersekolah. Kadang- kadang semasa " prep ", adakalanya semasa sedang makan di dewan makan atau sedang berjalan balik ke asrama selepas " prep " malam.

Banyak kejahatan berlaku semasa " blackout ". Kalau berlaku di dewan makan, tidak mustahil akan ada insiden karipap terbang yang sengaja dibaling dari ruang pelajar lelaki. Paling dahsyat, pernah juga ada insiden tray terbang. Kalau mengena, akan adalah jeritan kuat dari sebelah perempuan dan pelajar lelaki akan bersorak keseronokan.

3. SEMBAHYANG TERAWIH DI GIMNASIUM

Bulan Ramadan seluruh sekolah akan dikerah untuk berkumpul di gimnasium untuk solat Maghrib, Isyak dan Terawih berjemaah.

Ruang pelajar lelaki akan dipisahkan dari perempuan dengan tirai yang digantung. Tirai itu akan berkibar tinggi bila kipas berpusing menghala ke arahnya.

Pelajar perempuan kebiasaannya mengelak untuk berada di saf pertama belakang tirai. Kenapa? Ada kumpulan pelajar lelaki nakal akan perlahan- lahan sangkutkan kaki tirai di belakang badan tatkala sujud. Makanya, bila badan diangkat, tiba- tiba jemaah perempuan di saf pertama " terlepas " ke kawasan lelaki. Malu sungguh rasanya dan pasti akan terdengar kekehan gelak oleh kaum- kaum yang terlibat.

Itulah antara beberapa hamparan memori sepanjang menjelajah di dataran ilmu yang sangat istimewa ini.

SEMESTA tetap dalam ingatan!

GHOSTBUSTER

Asrama memang tidak akan sunyi dari kisah mistik. Perkara yang paling kerap jadi gangguan kepada kami sepanjang tinggal di asrama pastilah masalah histeria.

Histeria ini berpunca dari banyak sebab. Antaranya gangguan atau lintasan dan "tumpangan". Tidak kurang juga dek kerana stress atau depresi.

Antara kenangan paling dahsyat sepanjang berhadapan dengan isu histeria ini ialah bila pada tahun 1988, ramai rakan dan adik junior jadi histeria. Kalau tidak silap perkiraan, waktu lebih 30 pelajar yang mengalami keadaan itu.

Seram? Dah pasti seram. Tension pun ada juga. Sementelah waktu itu kami sedang kalut bergelut dengan peperiksaan SRP. Boleh bayangkan, sedang berpeluh menjawab soalan peperiksaan, di luar dewan terlihat ada yang berlari- lari hampir terjun bukit di hujung kelas.

Seusai peperiksaan, selain kami kononnya bergembira dan berpesta meraikan selesainya musim peperiksaan, kami juga ditugaskan menjadi " ghostbuster ". Bukanlah kami ini bertugas menghalau segala " gangguan " tetapi kami disuruh menjadi kumpulan penyelamat. Tukang kejar mangsa, tukang pegang mangsa sampai kadang- kadang dalam kalut nak mengejar kami pun tergolek sama.

Aku, Eliza, Natrah, Leha, Yati, Salha dan beberapa lagi kawan- kawan jadi team " ghostbuster " yang cemerlanglah kiranya sepanjang sebulan lebih sekolah kami dilanda gangguan.

Sampai sekarang, kalau ada kes histeria di kalangan pelajar, pasti saya juga turut dipanggil. Bukanlah hebat pun tapi bolehlah in shaa Allah membantu apa yang patut.

Friday 8 February 2019

DOA KUDUS

Menjadi ibu guru memberikan warna-warna yang berbeza dalam kehidupan seharian. Tiap hari warna, pengalaman dan rencah yang kita lalui tidak pernah serupa.

22 tahun memegang jawatan ini yang terbukti tugas seronok dalam menyampaikan pengajaran kepada anak didik menjadikan aku yang dulunya amat was-was kala membuat keputusan untuk menerima tawaran memasuki maktab, kini dengan bangga menyatakan aku memang dilahirkan untuk menjadi seorang guru.

Tahun-tahun awal di politeknik, aku memohon untuk mencuba mengajar pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal. Jabatan yang majoriti pelajarnya lelaki, kalau ada pelajar perempuan pun tidak lebih dari 3 orang dalam satu kelas.

Memang rezeki, pada satu semester aku diarahkan mengajar kelas DAD. Program automotif yang sudah pasti semua pelajarnya lelaki. Uihhh, bukan mudah... pelajar lelaki tidak sama caranya dengan mengajar pelajar perempuan. Kita harus tunjukkan pada mereka kita ini gagah seperti mereka menasihat, mendidik namun tidak sampai menghina atau merendahkan mereka.

Kuliah 2 jam amat melelahkan, selain mengajar, masa juga digunakan untuk membantu mereka menyelesaikan tugasan, memberi nasihat dan bertanya khabar.

Satu pagi aku bercadang menggunakan masa senggang untuk mengulangkaji tajuk yang pernah mereka belajar. Aku pilih tajuk paling mudah berkenaan tatabahasa (grammar) dan aku fokuskan kepada seksyen "Parts of Speech".

Berbagai soalan aku tanyakan, pelbagai bentuk klu aku berikan namun mereka kurang mampu mengingat dan menjawab pertanyaanku. Pada kebanyakan masa, aku yang memberi jawapan kepada soalan yang aku tanyakan pada mereka, dan mereka pula sekadar menyambut "ohhhh", "aahhhh" dan "macam ingat pernah belajar ni dulu madam".

Akhirnya, dek kerana tidak tahan lagi, aku keluarkan arahan,

" Baik, semua orang tadah tangan " aku tunjukkan gaya menadah tangan berdoa

Semuanya menurut dan aku mula berdoa dengan kuat,

"Ya Allah Ya Tuhan kami, bantulah kami, kami mohon Ya Allah... terangkanlah hati kami. Berikanlah kami sedikit kecerdikan hari ini... "
" AAAAAMIIIINNNNN "

Amboi bukan main kuat menyahut ye!!!
Bertuah betul anak!!!

ADIK NAEIM MEMANG SELALU HEBAT

Anak Abah Boyfriend Ummi dok melambung sikat dari tadi. Acah-acah drum major la tu 😊😊. Ummi dah pesan banyak kali jangan main macam tu, takut terkena mata... akhirnya memang berlaku, tapi bukan kena mata dia tapi mata Ummi.

Ummi pun apalagi, buat la adegan Kasim Selamat sambil merintih-rintih, "gelapppp...Ummi tak nampak apa-apa". Ummi menyambung buat aksi menangis tipu kat sebelah dia.

Dalam dok menekup muka dengan dua tangan, dok dengar beliau merungut, "hebat betul saya baling. Saya rasa saya baling atas, macam mana boleh jadi baling ke depan". Hampir 3- 4 minit juga lah dia dok berbisik-bisik sendiri.

Akhirnya Ummi dah tak larat nak berlakon buta lagi jadi terpaksa la buat scene anti climax. Dengan skrip, "biarlah Ummi cuba kelip mata ni mana tau nampak pulak" maka Ummi pun kelip-kelipkan mata.

Bukan main seronok dia bila Umminya dah mampu "melihat" semula. Dan Ummi terpaksa pulak dengar dan tengok demonstrasi teori beliau macamana sikat tu boleh tersasar ke mata Ummi.

Ayuhai adik yang selalu hebat 😒😒😒

SUAMIKU...LURUS SUNGGUH

Pagi ni kelam kabut nak ke sekolah dan pergi kerja. Dah separuh jalan baru perasan purse Kak Ezat tertinggal di rumah.

" Nak patah balik ke ambik purse?" tanya abang K

Kak Ezat geleng je sebab tahu dah lewat.

"Takpe, abang belikan je saya makanan kat kantin sekolah abang. Pastu bagi je saya duit sikit buat beli air"

"Nak berapa?"

Kak Ezat ni nak berbasi-basa, "bagi je saya 3, 4 ringgit"

Dipendekkan kisah, selesai beli bekal, abang K serahkan plastik makanan dan air. Nampak dia seluk poket, keluarkan duit dan selit dalam bakul buku Kak Ezat.

Sampai di pejabat sambil nak susun barang sebelum masuk kelas, Kak Ezat tengoklah berapa ringgit yang ada..

"Allahu Akbar! Memang dia letak RM 4 aje dalam beg 😫😫😫"

Ha ha memang typical mamat otak kiri yang teknikal . Lurus sungguh... 😜😜😜

Gelak besar kawan-kawan...

"Kak, duit belanja engkau ni lebih seringgit je dari duit belanja anak aku"

Sabar je lah!!!

ASRAMA AKI


Bila tiba musim cuti sekolah, paling menyeronokkan bila rumah Aki jadi tempat berkumpul sepupu sepapat. Rumah Aki akan penuh dengan kanak-kanak (cucu-cucu Aki lah) yang balik bercuti.


Saya, Kak Long, Khairul, Salut (kadang-kadang), Yong, Iqbal, Baby, si kembar Along ngan Angah, Jemi. Itu belum termasuk lagi kanak-kanak yang diasuh Uwan. Bukan main ramainya. 

Kala saya sudah memasuki sekolah menengah, saya selalu ditugaskan menolong Ngah memasak lauk-pauk untuk makan.Ha ha! betul-betul macam asrama. Lauk yang paling mudah dan murah tentulah, taugeh goreng campur tauhu, ikan kembung goreng. Kicap tu memang ruji sampai berebut-rebut 

Waktu hendak beri makan, semua saya kerah suruh beratur. Buat nasi kandar dan duduk beratur makan ramai-ramai.

Sampai sekarang saya selalu fikirkan, apa yang istimewanya hinggakan rumah Aki tak pernah sunyi. Hmmm, saya pasti jawapan paling sesuai ialah kasih sayang dan keikhlasan. Aki dan Uwan tak pernah merungut bila kami ramai-ramai serbu rumah mereka. Sayangnya sama saja. Marahnya juga sekata...

Sekarang kami semua sudah besar-besar, sudah ada keluarga sendiri. Aki pun dah hampir 10 tahun tinggalkan kami. Uwan juga sudah tidak berdaya lagi nak melayan kami macam dulu.

Namun indahnya keriuhan Asrama Aki selalu saya kenang hingga kini.

Thursday 7 February 2019

ANEKDOT PENSIL TEKAN

ANEKDOT PENSIL TEKAN

Pertama kali saya berkenalan dengan pensil ini semasa saya dalam Darjah 3. Waktu itu Arwah Aki kerap bermusafir jauh ke Kuala Lumpur atau ke Kuantan buat menghantar emak- emak saudara menghadiri samaada temuduga kerja atau sambung pengajian.

Kebiasaannya kalau Aki dan Uwan ke mana- mana, kebarangkalian untuk saya diangkut sekali amat tinggi. Alasan Aki mudah saja, kalau saya tinggal, siapa pulak nak selesaikan urusan menocang rambut saya yang panjang sampai ke pinggang sebelum ke sekolah. 

Seronok juga kala itu, dapat ponteng sekolah sehari dua. Tapi itu tergantung nasib juga, adakalanya Aki tak benarkan saya ikut. Biasanya kalau tak dapat ikut saya akan buat aksi drama cerekarama, melambai mereka pergi dengan linangan airmata.

Eh, berbalik kisah pensil tekan yang juga kadang- kadang digelar pensil picit, satu hari kami ke Kuantan kerana Mak Cek ada sesi temuduga di SMK Teknik/ Vokasional Kuantan. Selesai sesi temuduga kami singgah di sebuah pasaraya.

Masuk ke pasaraya saya tersesat ke bahagian alat tulis. Tengok sana jengok sini, ternampak sebatang pensil tekan dalam almari kaca. Kala itu, pensil tekan bukan alat tulis biasa- biasa. Tak ramai lagi orang yang guna. Lama saya renung pensil itu. Nak mintak tak berani sementelah bila tengok harga sampai RM 6.50 sebatang.

Entah hantu apa yang merasuk, tiba- tiba timbul idea tak berapa elok. Saya bertukar ke mode "mute", apa sahaja yang Aki tanya saya tak respon. Kemuncaknya saya kuncikan diri dalam kereta. Puas semua bertanya saya tak menjawab cuma masam mencuka.

Akhirnya tengahari itu saya dihadiahkan pensil tekan warna hitam hasil amukan ablasa saya itu. Punyalah kejam. Saya tak terfikir pun entah Aki cukup duit atau tidak semasa membayar harga pensil itu. Yang saya tahu esok bolehlah saya tunjuk pada kawan- kawan yang saya ada pensil tekan....Kau hado???

Takkan saya mampu terbalas semua jasa dan pengorbanan arwah Aki dan sanak famili kepada saya. Macam- macam ulah saya dari kecil yang mereka kena hadap. Nasib baik la saya cerah otak (berlagak weh). Kalau tak, hai!!!

Moga Allah kurniakan segala kebaikan kepada semua yang menyayangi dan sentiasa menghujani saya dengan kasih sayang...

Wednesday 6 February 2019

AIYE MEMANG HEBAT

Adik Naeim hanya mampu bertutur walaupun pelat kala usianya menjangkau 6 tahun. Sebelum itu dia hanya mampu zahirkan beberapa patah perkataan sahaja. Selebihnya kami yang cuba- cuba teka apa yang dia hendak sampaikan.

Suatu petang tatkala sampai dari pejabat, Abahnya sampaikan laporan. Anak bertuah kami letak air dengan tepung dalam kotak sayur di peti ais dan kemudiannya gaulkan bersama dengan marjerin. 

Bila ditanya, lekas dia menjawab " Aiye nak uat kipap ". Hmm alahai anak bijak!

*************

Suatu pagi di hujung minggu pula, tatkala keluar dari rumah saya kehilangan kata- kata. Si bongsu sudah bangun lebih awal dari kami.

Saya pandang ke kereta dan terasa hendak menjerit sekuat hati bila terpandang angka 1 hingga 20 ditulis besar- besar atas kereta.

Entah dari mana si bongsu jumpa paku, dijadikannya pensel dan ditoreh atas kereta. Saya panggil Abahnya ajak tengokkan hasil kerja si kecil. Abahnya hanya tersenyum kelat.

" Ummi, ummi tak marahkan aiye tulis atas kereta Ummi " sungguh saya tidak mampu berkata apa. Yang hanya saya mampu hadiahkan kepada adik Naeim hanyalah senyum hambar.

Ayuhai anak! Abah dan Ummi redha kerana kamu istimewa.

MENYULAM REDHA

Menyarung telekung sebelum Maghrib tadi mengundang sebak yang teramat. Airmata bercucuran sepanjang mendirikan solat.

Sementara menantikan Isyak, saya bacakan Yasin. Sekali lagi saya tahan pedih di dada bila perlahan- perlahan saya niatkan bacaan malam ini khusus untuk dia yang sangat saya rindui pada ketika ini.

Saya panjatkan doa agar Allah pelihara dia. Meluaskan tempat istirehatnya. Saya doa juga semoga beliau redha dengan apa sahaja perbuatan baik saya kepadanya dan memaafkan segala silap dan dosa saya sepanjang 23 tahun bersama dia.

Saya juga mohon Allah tetapkan dan kuatkan hati saya. Agar saya kekal kukuh hati menerima jalanan takdir ini. Agar saya tegar dalam meneruskan hari mendatang dan mampu membentuk serta memimpin anak- anak. Semoga anak- anak juga membantu saya dengan terus berpekerti baik dan mengikut kata serta mentaati Allah.

Alhamdulillah atas kurniaan usia yang masih ada ini. Alhamdulillah memberikan saya nikmat beransur sihat. Alhamdulillah saya dikelilingi terlalu ramai insan baik yang sentiasa menyokong dan mendoakan. Alhamdulillah dikurniakan kakak- kakak ipar yang kini menjadi kakak- kakak tempat saya mengadu nasib dan berkongsi suka duka. Alhamdulillah untuk keluarga seluruhnya yang sentiasa ada untuk kami.

🌻🌻🌻🌻🌻🌻🌻🌻🌻🌻

CIKGU MIN BANYAK ANGIN

Sudah 3, 4 hari perut Cikgu Min sebu. Memulas sepanjang hari. Entah dek kerana makan terlampau banyak durian atau dek kerana meratah gulai lemak pucuk ubi sewaktu pesta buka kolam, dia sendiri tak pasti.
Hari Isnin ke sekolah seperti biasa biarpun perut belum lega benar. Kelas Tahun 1 tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan. Bimbang macam-macam boleh terjadi.
Cikgu Min yang memang digeruni anak-anak murid melangkah masuk kelas dengan perlahan. Hari itu beliau perlu mengajar 4 masa berturut, 2 masa Bahasa Melayu dan 2 masa Pengajian Seni. Kalau dah namanya guru kelas, maka hampir semua matapelajaran kelas tersebut perlu diuruskan.
Cikgu Min duduk di kerusi meja guru apabila dirasakan perutnya makin memulas.
" Hari ni cikgu tak sihat. Cikgu tak boleh jalan banyak "
" kenapa Cikgu? " terdengar suara-suara halus bertanya
" Cikgu sakit perut. Dalam perut cikgu ada banyak angin. "
" Ohhhhhhhhh " itu memang jawapan dan nada standard anak-anak sekolah rendah
Tanpa berlengah, kelas diteruskan. Di pertengahan waktu, Cikgu Min rasa perutnya makin bergelodak... Pantas Cikgu Min berjalan menghala pintu kelas. Tiba-tiba, kedengaran bunyi yang agak kuat di hadapan pintu kelas. Usaha cikgu Min untuk menyelamatkan diri tidak kesampaian. 33 pasang mata tepat memandangnya tanpa berani mengeluarkan sepatah kata.
"Haaa, kan tadi cikgu kata perut cikgu banyak angin. Tu angin cikgu dah keluar...sambung buat kerja. Kejap lagi cikgu datang semula "
Dan pagi itu bilik guru bergegar dengan hilai tawa kami yang mendengarkan cerita beliau.