Thursday 7 February 2019

ANEKDOT PENSIL TEKAN

ANEKDOT PENSIL TEKAN

Pertama kali saya berkenalan dengan pensil ini semasa saya dalam Darjah 3. Waktu itu Arwah Aki kerap bermusafir jauh ke Kuala Lumpur atau ke Kuantan buat menghantar emak- emak saudara menghadiri samaada temuduga kerja atau sambung pengajian.

Kebiasaannya kalau Aki dan Uwan ke mana- mana, kebarangkalian untuk saya diangkut sekali amat tinggi. Alasan Aki mudah saja, kalau saya tinggal, siapa pulak nak selesaikan urusan menocang rambut saya yang panjang sampai ke pinggang sebelum ke sekolah. 

Seronok juga kala itu, dapat ponteng sekolah sehari dua. Tapi itu tergantung nasib juga, adakalanya Aki tak benarkan saya ikut. Biasanya kalau tak dapat ikut saya akan buat aksi drama cerekarama, melambai mereka pergi dengan linangan airmata.

Eh, berbalik kisah pensil tekan yang juga kadang- kadang digelar pensil picit, satu hari kami ke Kuantan kerana Mak Cek ada sesi temuduga di SMK Teknik/ Vokasional Kuantan. Selesai sesi temuduga kami singgah di sebuah pasaraya.

Masuk ke pasaraya saya tersesat ke bahagian alat tulis. Tengok sana jengok sini, ternampak sebatang pensil tekan dalam almari kaca. Kala itu, pensil tekan bukan alat tulis biasa- biasa. Tak ramai lagi orang yang guna. Lama saya renung pensil itu. Nak mintak tak berani sementelah bila tengok harga sampai RM 6.50 sebatang.

Entah hantu apa yang merasuk, tiba- tiba timbul idea tak berapa elok. Saya bertukar ke mode "mute", apa sahaja yang Aki tanya saya tak respon. Kemuncaknya saya kuncikan diri dalam kereta. Puas semua bertanya saya tak menjawab cuma masam mencuka.

Akhirnya tengahari itu saya dihadiahkan pensil tekan warna hitam hasil amukan ablasa saya itu. Punyalah kejam. Saya tak terfikir pun entah Aki cukup duit atau tidak semasa membayar harga pensil itu. Yang saya tahu esok bolehlah saya tunjuk pada kawan- kawan yang saya ada pensil tekan....Kau hado???

Takkan saya mampu terbalas semua jasa dan pengorbanan arwah Aki dan sanak famili kepada saya. Macam- macam ulah saya dari kecil yang mereka kena hadap. Nasib baik la saya cerah otak (berlagak weh). Kalau tak, hai!!!

Moga Allah kurniakan segala kebaikan kepada semua yang menyayangi dan sentiasa menghujani saya dengan kasih sayang...

No comments:

Post a Comment