Wednesday 6 February 2019

MENYULAM REDHA

Menyarung telekung sebelum Maghrib tadi mengundang sebak yang teramat. Airmata bercucuran sepanjang mendirikan solat.

Sementara menantikan Isyak, saya bacakan Yasin. Sekali lagi saya tahan pedih di dada bila perlahan- perlahan saya niatkan bacaan malam ini khusus untuk dia yang sangat saya rindui pada ketika ini.

Saya panjatkan doa agar Allah pelihara dia. Meluaskan tempat istirehatnya. Saya doa juga semoga beliau redha dengan apa sahaja perbuatan baik saya kepadanya dan memaafkan segala silap dan dosa saya sepanjang 23 tahun bersama dia.

Saya juga mohon Allah tetapkan dan kuatkan hati saya. Agar saya kekal kukuh hati menerima jalanan takdir ini. Agar saya tegar dalam meneruskan hari mendatang dan mampu membentuk serta memimpin anak- anak. Semoga anak- anak juga membantu saya dengan terus berpekerti baik dan mengikut kata serta mentaati Allah.

Alhamdulillah atas kurniaan usia yang masih ada ini. Alhamdulillah memberikan saya nikmat beransur sihat. Alhamdulillah saya dikelilingi terlalu ramai insan baik yang sentiasa menyokong dan mendoakan. Alhamdulillah dikurniakan kakak- kakak ipar yang kini menjadi kakak- kakak tempat saya mengadu nasib dan berkongsi suka duka. Alhamdulillah untuk keluarga seluruhnya yang sentiasa ada untuk kami.

🌻🌻🌻🌻🌻🌻🌻🌻🌻🌻

No comments:

Post a Comment