Friday 8 February 2019

DOA KUDUS

Menjadi ibu guru memberikan warna-warna yang berbeza dalam kehidupan seharian. Tiap hari warna, pengalaman dan rencah yang kita lalui tidak pernah serupa.

22 tahun memegang jawatan ini yang terbukti tugas seronok dalam menyampaikan pengajaran kepada anak didik menjadikan aku yang dulunya amat was-was kala membuat keputusan untuk menerima tawaran memasuki maktab, kini dengan bangga menyatakan aku memang dilahirkan untuk menjadi seorang guru.

Tahun-tahun awal di politeknik, aku memohon untuk mencuba mengajar pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal. Jabatan yang majoriti pelajarnya lelaki, kalau ada pelajar perempuan pun tidak lebih dari 3 orang dalam satu kelas.

Memang rezeki, pada satu semester aku diarahkan mengajar kelas DAD. Program automotif yang sudah pasti semua pelajarnya lelaki. Uihhh, bukan mudah... pelajar lelaki tidak sama caranya dengan mengajar pelajar perempuan. Kita harus tunjukkan pada mereka kita ini gagah seperti mereka menasihat, mendidik namun tidak sampai menghina atau merendahkan mereka.

Kuliah 2 jam amat melelahkan, selain mengajar, masa juga digunakan untuk membantu mereka menyelesaikan tugasan, memberi nasihat dan bertanya khabar.

Satu pagi aku bercadang menggunakan masa senggang untuk mengulangkaji tajuk yang pernah mereka belajar. Aku pilih tajuk paling mudah berkenaan tatabahasa (grammar) dan aku fokuskan kepada seksyen "Parts of Speech".

Berbagai soalan aku tanyakan, pelbagai bentuk klu aku berikan namun mereka kurang mampu mengingat dan menjawab pertanyaanku. Pada kebanyakan masa, aku yang memberi jawapan kepada soalan yang aku tanyakan pada mereka, dan mereka pula sekadar menyambut "ohhhh", "aahhhh" dan "macam ingat pernah belajar ni dulu madam".

Akhirnya, dek kerana tidak tahan lagi, aku keluarkan arahan,

" Baik, semua orang tadah tangan " aku tunjukkan gaya menadah tangan berdoa

Semuanya menurut dan aku mula berdoa dengan kuat,

"Ya Allah Ya Tuhan kami, bantulah kami, kami mohon Ya Allah... terangkanlah hati kami. Berikanlah kami sedikit kecerdikan hari ini... "
" AAAAAMIIIINNNNN "

Amboi bukan main kuat menyahut ye!!!
Bertuah betul anak!!!

No comments:

Post a Comment