Wednesday 6 February 2019

CIKGU MIN BANYAK ANGIN

Sudah 3, 4 hari perut Cikgu Min sebu. Memulas sepanjang hari. Entah dek kerana makan terlampau banyak durian atau dek kerana meratah gulai lemak pucuk ubi sewaktu pesta buka kolam, dia sendiri tak pasti.
Hari Isnin ke sekolah seperti biasa biarpun perut belum lega benar. Kelas Tahun 1 tidak boleh dibiarkan tanpa pengawasan. Bimbang macam-macam boleh terjadi.
Cikgu Min yang memang digeruni anak-anak murid melangkah masuk kelas dengan perlahan. Hari itu beliau perlu mengajar 4 masa berturut, 2 masa Bahasa Melayu dan 2 masa Pengajian Seni. Kalau dah namanya guru kelas, maka hampir semua matapelajaran kelas tersebut perlu diuruskan.
Cikgu Min duduk di kerusi meja guru apabila dirasakan perutnya makin memulas.
" Hari ni cikgu tak sihat. Cikgu tak boleh jalan banyak "
" kenapa Cikgu? " terdengar suara-suara halus bertanya
" Cikgu sakit perut. Dalam perut cikgu ada banyak angin. "
" Ohhhhhhhhh " itu memang jawapan dan nada standard anak-anak sekolah rendah
Tanpa berlengah, kelas diteruskan. Di pertengahan waktu, Cikgu Min rasa perutnya makin bergelodak... Pantas Cikgu Min berjalan menghala pintu kelas. Tiba-tiba, kedengaran bunyi yang agak kuat di hadapan pintu kelas. Usaha cikgu Min untuk menyelamatkan diri tidak kesampaian. 33 pasang mata tepat memandangnya tanpa berani mengeluarkan sepatah kata.
"Haaa, kan tadi cikgu kata perut cikgu banyak angin. Tu angin cikgu dah keluar...sambung buat kerja. Kejap lagi cikgu datang semula "
Dan pagi itu bilik guru bergegar dengan hilai tawa kami yang mendengarkan cerita beliau.

No comments:

Post a Comment